Sekolah Kebangsaan Kongsi (dahulunya dikenali sebagai Sekolah Melayu Kongsi) merupakan salah sebuah sekolah kebangsaan yang tertua di Pulau Pinang. Ia dipercayai telah wujud pada awal tahun 1900 an. Ini bersumberkan dari maklumat yang telah diperolehi hasil temubual dengan beberapa orang bekas guru, guru besar dan murid tua sekolah ini. Di antaranya ialah Tuan Haji Senawi bin Jamaluddin yang kini berusia 92 tahun. Beliau telah mendapat pendidikan awal di sekolah ini bermula tahun 1921 yang ketika itu terletak di sebuah bangunan yang dikenali sebagai Balik Pulau Recreational Club (BPRC). Di tapak bangunan BPRC kini telah didirikan Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Barat Daya. Pada ketika itu, tempoh pengajian adalah dari tahun 1 hingga tahun 4.
![]() |
Suasana sekitar Jalan Besar Balik Pulau pada tahun 1885 |
![]() |
Tapak Sekolah Melayu Kongsi bagi murid lelaki terletak di bangunan Balik Pulau Recreational Club (BPRC), kini merupakan Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Barat Daya. |
Atas sebab-sebab tata kesopanan dan kesusilaan turun temurun orang terdahulu, maka pada masa itu pembelajaran antara murid lelaki dan perempuan diasingkan. Sekolah di bangunan BPRC di khususkan untuk murid lelaki sahaja. Manakala bagi murid perempuan, lokasi tapak bangunan sekolah terletak bersebelahan kuil Hindu di Jalan Sg. Pinang.
Sekitar tahun 1936, tapak baru sekolah yang baru (tapak yang ada pada hari ini) telah diperolehi. Ia terdiri daripada sebuah bangunan 2 tingkat (Blok A), sebuah rumah guru besar (kini dijadikan tempat letak kereta) dan sebuah kelas (kini Pusat Sumber Sekolah) yang didirikan daripada pelupuh atau bertam sebagai dinding, beratapkan nipah dan berlantaikan tanah.
Pada tahun 1954, sebuah bangunan 2 tingkat (Blok B) didirikan. Guru besar pada ketika itu ialah En. Mohamad b. Salleh. Sekolah ini kemudiannya telah didaftarkan di bawah undang-undang Pelajaran 1957 dan nama Sekolah Melayu Kongsi telah ditukar kepada Sekolah Umum Kongsi. Dalam tahun 1970 an, satu badan yang berfungsi mengawal kewangan sekolah diwujudkan. Ia dikenali sebagai Lembaga Jemaah Pengurus Sekolah dan salah seorang pengerusinya ialah Tuan Haji Junid b. Hashim yang juga merupakan bekas guru di sekolah ini suatu ketika dahulu.
Sekolah Kebangsaan Kongsi semakin menjadi tarikan bagi ibu bapa menghantar anak-anak mereka. Ini disebabkan peningkatan prestasi murid yang begitu membanggakan. Menurut salah seorang bekas guru besar, Tuan Haji Muhammad b. Haji Kassim, seorang murid telah berjaya memasuki Sekolah Menengah Tun Fatimah, Johor Bharu dan beberapa orang lagi diterima masuk ke Sekolah Menengah Sains Syed Syeikh Shahabuddin, Bukit Mertajam. Usaha ini disambung oleh seorang lagi bekas guru besar En. Mohamad Zainon b. Md Jawi. Menurutnya, sekolah ini merupakan pelapor kepada program motivasi murid tahun 6 yang akan menduduki peperiksaan UPSR. Atas usaha yang dirintis itu, maka sekolah ini muncul sebagai sekolah terbaik di Balik Pulau bagi tahun 1991 hingga 1993.
Comments
Post a Comment